DI MATRIKULASI DAN UNIVERSITI
OLEH:HAIRUL ANUAR SOBIKIN
Bintang tujuh sinar berseri,
Bulan purnama datang menerpa,
Ajaran guru hendak dicari,
Mana yang dapat janganlah lupa.
Sebaik-baik cara belajar ialah dengan berguru.Pada amnya di universiti, belajar di bawah pengajaran dan pengawasan seseorang guru itu terbahagi kepada:
1) Kelas atau kuliah
2) Bimbingan atau dikenali sebagai tutorial
3) Makmal atau amali
PENDEKATAN KULIAH ATAU SYARAHAN
Tujuan asas pendekatan ini adalah
a) Meningkatkan pengetahuan dari satu tahap pengetahuan asas
b) Mengajar bahan yang sukar dipelajari melalui buku
c) Mengajar bahan baru yang belum dibukukan
Berdasarkan tujuan yang amat penting di atas, pelajar tentunya akan menerima padah yang buruk jika dengan sengaja mengabaikan kelas ataupun kuliah dengan sewenang-wenangnya.
Persiapan yang dilakukan oleh guru atau pensyarah untuk satu jam kuliah biasanya mengambil masa lebih dari dua jam . Oleh itu , para pelajar seharusnya mengambil masa yang lebih untuk bersedia dan menghadam bahan kuliah ,kecuali jika dia lebih faham dan mengetahui bahan tersebut berbanding pemberi kuliah itu sendiri .
Oleh kerana salah satu tujuan kuliah adalah untuk meningkatkan tahap pengetahuan daripada tahap pengetahuan asas, maka pelajar seharusnya mengemaskinikan pengetahuan asasnya sebagai persediaan sebelum menghadiri kuliah. Oleh kerana kelas atau kuliah merupakan satu siri pengajaran dalam satu kursus, persediaan yang baik untuk sesuatu kuliah ialah pemahaman serta ingatan kepada bahan-bahan daripada kuliah –kuliah yang sebelumnya,mengenai bahan yang berkenaan ataupun yang bersangkutan .
Daripada perbincangan di atas , jelaslah cara yang paling baik untuk bersedia menghadapi sesuatu kuliah ialah dengan mengkaji semula kuliah –kuliah yang sebelumnya. Ini perlu dilakukan secepat mungkin selepas sesuatu kelas atau kuliah .Kebaikan daripada cara begini antaranya:
a) Tahap ingatan pelajar terhadap bahan yang disampaikan oleh pensyarah masih segar. Ini bermakna , catatan nota yang tidak betul atau tidak sempurna dapat dibetulkan dengan segera.
b) Daya ingatan pelajar terhadap bahan tersebut akan bertambah. Mengulang beberapa kali sesuatu bahan yang baru diperolehi dengan segera merupakan cara mengingat yang terbaik.
c) Bahan yang tidak difahami dapat dikesan lebih awal. Dengan ini ,kita boleh bertanya kepada pensyarah atau merujuk kepada buku rujukan dan memahaminya sebelum kuliah yang seterusnya. Ini kerana , untuk mengikuti dan memahami kuliah yang akan datang memerlukan pemahaman terhadap kuliah yang sebelumnya.
Aspek yang penting dalam kuliah adalah pengambilan nota. Catatan atau nota diperlukan untuk mengingati bahan yang diberikan dalam kuliah . Nota hendaklah ditulis dengan terang ,jelas dan dapat dibaca untuk sesi ulang kaji. Pelajar seharusnya menyediakan ruang dalam kertas catatan untuk pembetulan dan maklumat tambahan yang berkaitan . Amat baik sekali jika pelajar meninggalkan satu pertiga ruang kosong di sebelah kanan buku catatan untuk tujuan tersebut.Sebaik-baiknya, nota yang dicatat dalam kuliah dikekalkan dan sebarang pembetulan dilakukan diatas kertas yang sama. Ini kerana masa untuk menyalin semula nota amat berharga dan lebih bermanfaat kalau digunakan untuk kerja lain .
Dalam kes kuliah yang diberi sebagai garis kasar, pelajar perlu menambahkan catatannya dengan bahan daripada bahan rujukan lain .Untuk mengetahui had sebanyak mana atau sedalam mana catatan yang diperlukan , pelajar perlu menggunakan skop kursus, silibus kursus dan juga panduan dari pensyarah terlibat.
Pelajar perlu sedar , syarahan atau kuliah mengandungi isi utama,bahan bantuan dan bahan simpangan. Isi utama adalah titik pentimg yang hendak disampaikan sementara bahan bantuan sebagai contoh untuk menerangkan isi penting tersebut. Perkara yang tidak bersangkutan dengan bahan utama biasanya diberi oleh pensyarah kerana terlajak , ataupun bahan-bahan lucu untuk menenangkan dan menyegarkan suasana .
Pelajar perlu melatih diri menangkap isi utama yang dibincangkan oleh pensyarah . Isi utamalah yang wajib difahami dan dicatat di dalam nota pelajar .Tidak semua butir-butir perlu diambil, ambil hanya isi utama, kata kunci dan sedikit penerangan yang membantu pemahaman pelajar.Ada baiknya pelajar berbincang bersama rakan untuk menyemak sama ada apa yang ditangkapnya sebagai isi utama itu dipersetujui oleh rakan-rakannya.
Setelah itu , pelajar perlulah melakukan bacaan tambahan dan merujuk kepada buku yang digunakan oleh pensyarah. Pelajar juga boleh mendpatkan rujukan tambahan berdasarkan bibliografi buku yang digunakan tadi.Contoh-contoh soalan peperiksaan dan soalan latihan juga boleh digunakan sebagai sumber maklumat tambahan untuk mengisi garis kasar yang diberikan pensyarah di dalam kuliah.
Nota yang lengkap amat penting dalam persediaan untuk menghadapi peperiksaan.Nota yang lengkap adalah nota yang mengandungi bahan utama,bahan bantuan seperti contoh dan butiran yang membantu pemahaman yang diambil dengan cekap dan pantas.
Satu lagi aspek yang penting di dalam kuliah ialah tumpuan. Kuliah amat penting kerana ia menerangkan bahan yang sukar difahami dari buku dan perkara baru yang belum lagi dibukukan .Cara yang paling baik ialah dengan mengelakkan diri dari daya pelalaian .Pelalaian datang dari pelbagai aspek ,antaranya:
a) Kurang minat terhadap kuliah. Ini adalah manifestasi sikap negatif dan kurang motivasi dari dalam diri pelajar itu sendiri. Bimbingan dan nasihat daripada kaunselor atau pensyarah amat penting untuk menyelesaikan masalah ini.
b) Tidak dapat mengikuti apa yang dibicarakan oleh pensyarah.Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini ,pelajar mesti memahami kuliah yang lepas supaya seronok menghadiri kuliah dan tidak menghadapi kesukaran untuk memahami kuliah yang seterusnya.
c) Kekurangan rehat sehingga mengantuk dan mengganggu konsentrasi. Dalam keadaan kekurangan tidur, tumpuan akan menurun dan kesilapan dilakukan akan meningkat.Pengurusan masa yang betul dapat mengatasi masalah masa rehat yang tidak cukup ini .
Antara langkah yang boleh diambil untuk mendapatkan tumpuan yang tinggi semasa kuliah ialah :
a) Baca dan fahamkan
BIMBINGAN ATAU TUTORIAL
Kelas tutorial diadakan untuk menyempurnakan pengajaran . Tutorial bukanlah kelas atau kuliah tetapi merupakan pelengkap kepada kuliah . Tutorial lebih merupakan kelas untuk mengesan sejauh mana pelajar menerima dan faham akan apa yang telah disampaikan di dalam kuliah .
Bentuk tutorial biasanya adalah dengan pensyarah memberi soalan-soalan yang meliputi segenap aspek berdasarkan kuliah yang diberi. Masa untuk menjawab soalan tutorial adalah lebih lama dari kelas tutorial .Ini bermakna kelas tutorial bukanlah tempat untuk menyelesaikan soalan . Masa untuk menyelesaikan semua soalan tutorial adalah sebelum kelas bermula.
Kelas tutorial merupakan punca maklum balas kepada pensyarah mengenai tahap pencapaian pelajar.Masa untuk kelas tutorial seharusnya dimanfaatkan oleh para pelajar dengan bertanya mengenai masalah yang mereka hadapi semasa menjawab soalan tutorial. Setiap pelajar mempunyai masalah yang berbeza.Jikalau pelajar tidak memberitahu masalahnya kepada pensyarah,ini bermakna tidak akan ada jalan kepada pensyarah untuk menolongnya. Soalan tutorial perlu dijawab sebelum kelas bermula supaya pelajar dapat bersedia untuk bertanya di dalam kelas tutorial.
Tutorial amat penting dalam pengawalan mutu pencapaian para pelajar.
Apabila pelajar tidak menghadiri kelas tutorial, ia akan menghadapi masalah dari segi pemahaman bahan kuliah dan mungkin dia tidak tahu akan mutu yang dituntut oleh pemeriksa , terutama sekali mutu yang dituntut oleh soalan peperiksaan. Ini kerana tutorial merupakan tempat untuk pensyarah menunjukkan kepada pelajar mutu pemahaman dan mutu kebolehan mengaplikasi yang diharapkan oleh pensyarah.
MAKMAL ATAU AMALI
Kerja kursus adalah komponen pengajaran yang tidak kurang pentingnya. Kerja kursus mempunyai caruman markah yang tinggi dan selalunya, pelajar gagal kerana markah kerja kursusnya rendah dan tidak membantu.
Pendekatan sesetengah pelajar kepada kerja kursus merupakan pendekatan yang memusnah diri sendiri . Satu masalah yang kerap timbul adalah sikap bertangguh-tangguh. Apabila tarikh akhir sudah tiba , pelajar tersebut tergopoh-gopoh menyiapkan kerja kursusnya.Ini bermakna semua kerja lain terpaksa ditangguhkan pada saat-saat yang genting itu. Hasil kerja yang dilakukan sedemikian rupa tentulah tidak memberikan hasil yang terbaik.
Kerja kursus mestilah dibuat dengan segera tanpa mengganggu pembelajaran yang lain . Kerja kursus juga merupakan latihan masa depan ,di alam pekerjaan di mana akan ada timbunan kertas kerja yang terpaksa disiapkan sementara tugas-tugas lain tidak boleh diabaikan . Oleh itu kerja kursus dapat memberi latihan yang baik untuk menghadapi masa depan .
Satu pendekatan yang baik terhadap laporan makmal perlu ditekankan di sini .Adalah baik kalau pelajar menyiapkan laporan secepat mungkin sementara ingatan mengenai kerja makmal tersebut masih segar . Pelajar juga perlu mengetahui matlamat kerja makmal yang akan dilakukan dan memahami latar belakang kerja makmal tersebut.Dengan cara begini pelajar dapat belajar dari kerja makmalnya.
Banyak pelajar yang mengadu kerja makmal tidak dapat difahami kerana teori tidak diberi lagi . Pelajar seharusnya membaca teori itu sendiri dan bertanya kepada penyelia makmal sewaktu membuat kerja makmal mengenai perkara yang tidak difahami. Cara ini akan menguntungkan pelajar sendiri kerana apabila teori ini dibincangkan dalam kuliah, pelajar sudah pun mempunyai persediaan latar belakang untuk mengikuti kuliah tersebut.
Bacaan Tambahan :Prof Khalid Mohamad Nor 2002 BELAJAR TEKNIK BELAJAR www.pts.com.my
Wednesday, December 27, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment