OLEH:HAIRUL ANUAR SOBIKIN
Orang yang dapat menumpukan fikirannya ialah orang yang dapat mengawal perhatiannya. Dalam perkataan lain , jika perkara yang mengganggu atau menyampuk perhatian dapat dikawal atau dihapuskan , kita akan dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang kita lakukan .
Sebenarnya sebelum kita dapat menumpukan perhatian kepada sesuatu perkara , kita mesti mempunyai dorongan yang kuat kepada perkara tersebut. Dorongan dapat menambat hati untuk bersungguh terhadap sesuatu usaha. Jika seseorang itu tidak mempunyai dorongan yang kuat terhadap pembelajaran , maka hati dan minatnya akan diisikan oleh dorongan kepada matlamat lain . Apabila minat pelajar telah teralih atau sentiasa terganggu oleh keinginan yang lain, maka daya untuk belajar akan pudar dan pelajar tidak akan dapat menumpukan perhatian.
Selain dorongan, otak turut berperanan dalam penumpuan perhatian. Otak manusia bukan sahaja berfungsi untuk berfikir, tetapi otak juga mengawal pancaindera . Oleh itu , semasa belajar pancaindera yang membuat kegiatan lain daripada pembelajaran sebenarnya membelah bahagikan perhatian otak dan seterusnya menyebabkan kekurangan penumpuan.Sebenarnya penumpuan dapat ditingkatkan jika kita mengawal perkara yang mengganggu perhatian . Kekurangan perhatian dan penumpuan merupakan penghalang kejayaan dalam pengajian dan juga merupakan pembaziran masa kerana masa yang digunakan semasa belajar tanpa penumpuan adalah masa yang sia-sia.
Pancaindera juga janganlah didedahkan kepada ransangan yang mengganggu tumpuan.Pancaindera perlu digembelingkan supaya yang memberi maklumat kepada otak tertumpu sepenuhnya kepada satu perbuatan.Contoh gangguan kepada pancaindera semasa belajar ialah melihat bahan yang tidak berkaitan, mendengar muzik, tempat belajar yang bising, makan, minum, berbual-bual dan sebagainya.Ada pelajar yang belajar sambil mendengar muzik.Proses mendengar ini menggunakan otak dan ini bermakna otak tidak digunakan sepenuhnya untuk pembelajaran.Untuk menggembeling anggota supaya bekerjasama belajar, tangan pelajar mestilah aktif dan tidak kaku. Cara yang baik ialah dengan menulis sesuatu di atas kertas catatan dari masa ke semasa atau menanda bahagian atau rumusan yang penting dalam bahan bacaan.
Ramai pelajar yang boleh memberikan perhatian penuh semasa belajar tetapi untuk sebentar sahaja. Ini adalah keadaan tabii bagi fikiran manusia. Di tengah kita (secara sedar) ingin menumpukan kepada sesuatu, perkara lain pula yang melayang kepada tumpuan kita. Cara yang berkesan untuk mematikan desakan dan gesaan pemikiran yang mengurangkan penumpuan ialah bekerja dengan pantas mengikut matlamat yang ditentukan. Cara ini membuatkan tiada ruang masa bagi otak untuk menyimpang kepada fikiran lain. Misalnya untuk mengulangkaji, tetapkan masa dan intipati yang perlu difahami. Dengan ini pelajar dapat menguji dirinya sendiri selepas masa yang diperuntukkan. Dengan cara ini , kita akan belajar dengan giat dan dengan sendirinya segala fikiran dan impian yang menyesatkan perhatian akan berkurangan dan terhapus.
Sikap yang turut membantu penumpuan ialah sikap ingin tahu. Perhatikan penumpuan penonton perlawanan bola sepak apabila sesuatu pasukan menyerang gawang gol pihak lawan. Penonton ingin tahu sama ada serangan berjaya ditangkis atau tidak. Sekiranya permainan berkisar di tengah padang , penonton akan resah, bosan dan ada pula yang meninggalkan tempat duduk mereka. Oleh itu ,membaca dengan tujuan supaya dapat diluahkan semasa peperiksaan adalah tidak berkesan dan tidak patut diamalkan.
Faktor kerja keras juga membantu daya penumpuan. Semasa bekerja ,tunpuan beralih daripada satu bahan kepada bahan lain. Bahan itu merangsang otak untuk menumpukan perhatian . Tempoh tumpuan kepada sesuatu bahan itu sebentar sahaja. Oleh itu , jika peralihan kepada bahan yang baru lambat dibuat atau dilengahkan, paras tumpuan akan menurun. Ada kalanya ketika kerja dilengahkan , paras tumpuan akan menurun. Ada kalanya ketika kerja dilengahkan , fikiran melayang ke tempat lain dan ini bermakna tumpuan akan lupus. Apabila bekerja, lakukanlah dengan deras supaya tidak ada ruang masa yang dapat ditembusi oleh ransangan luar . Bekerja deras bukan bermakna pantas atau gopoh.
Penumpuan juga boleh terjejas jika badan pelajar tidak sihat dan segar. Ini bermakna makan dengan sempurna penting supaya pembelajaran tidak diganggu oleh rasa lapar. Tidur yang cukup juga perlu bagi mengelakkan mengantuk semasa belajar. Kesegaran jasad jugsa memerlukan rehat yang mencukupi (dan bukan berlebihan) serta senaman sama ada dalam bentuk sukan , berjalan-jalan dan sebagainya.
Satu lagi pengganggu penumpuan adalah rasa mengantuk. Walaupun masa belajar dan berehat telah direncanakan dengan baik dan teratur , tidak mustahil rasa mengantuk hadir ketika dia mula belajar. Ada yang menangguhkan pembelajaran, tetapi harus disedari bahawa tindakan begitu menyebabkan jadual belajar terganggu. Pendekatan terbaik ialah mencari jalan melawan rasa mengantuk. Antara cara yang boleh dilakukan ialah dengan tidur sejenak , berehat sebentar,berjalan-jalan atau melakukan senaman ringan.
Satu lagi faktor ialah kelesuan fikiran yang berpunca daripada rasa bosan. Apabila letih semasa belajar ,kemudian letih itu hilang apabila membaca majalah kegemaran, itu membuktikan keletihan itu kerana kebosanan. Penggunaan waktu yang teratur dan tempat belajar yang sesuai untuk belajar dapat membantu mengatasi masalah ini. Masalah ini sememangnya serius. Pembelajaran memeng mengandungi unsur yang membosankan. Apabila seseorang bosan, perasaan mengantuk pun tiba dan menambahkan masalah yang sedia ada. Perlu diambil perhatian , jika pelajar tersebut kurang waktu tidurnya, maka lebih baik dia tidur kerana jika belajar pun otak tidak mungkin dapat menerimanya dengan berkesan.
Selain itu persekitaran yang sesuai amat membantu dalam meningkatkan penumpuan. Faktor bunyi,pencahayaan,perabot ,aliran udara, suhu dan faktor persekitaran lain amat mempengaruhi. Pemilihan tempat untuk belajar amat penting bagi mengelakkan gangguan dan meningkatkan penumpuan.
Wednesday, December 27, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment