Dorongan di hati adalah daya yang menambahkan semangat hendak berusaha. Sebarang kegiatan yang dibuat tanpa dorongan akan menjadi kegiatan bertenaga lemah. Hampir semua kegiatan yang diusahakan tanpa dorongan akan gagal.
Salah satu dorongan yang kuat ialah cita-cita. Ia merupakan matlamat seseorang manusia. Dengan cita-cita yang jelas, manusia dapat menumpukan usahanya ke arah matlamat tersebut. Seseorang wajib mempunyai cita-cita yang jelas dan kursus yang diikutinya pula mestilah selari dengan cita-cita tersebut. Tanpa cita-cita yang selari dengan kursus, dorongan untuk belajar menjadi lemah dan semangat berusaha akan luntur.
Keinginan berbentuk kebendaan seperti mencapai taraf sosial yang tinggi dengan kejayaan akademik, membantu keluarga yang rendah taraf ekonomi dan ransangan daripada desakan berbentuk kebendaan yang lain juga membantu pelajar dalam mengejar kecemerlangan.
Kepuasan daripada ilmu yang diperolehi juga dapat mendorong pelajar berusaha dengan lebih tekun. Dengan mengetahui latar belakang ilmu ataupun bahan tersebut serta menyedari kegunaannya, minat untuk mengetahui atau selera ingin tahu akan mendorong seseorang pelajar berusaha untuk memehami dan menguasai ilmu tersebut.
Menyedari fitrah alam juga mampu menjadi pendorong kepada pelajar. Dorongan untuk berusaha boleh dikuatkan dengan kesedaran bahawa lumrah alam adalah kejayaan individu itu setimpal dengan usahanya. Untuk kejayaan cemerlang , maka usaha yang diperlukan sudah semestinya sama cemerlang darjahnya.
Harapan merupakan suatu dorongan dari dalam diri. Seseorang yang menyangka ia tidak mempunyai harapan untuk sesuatu perkara, tidak akan berusaha bersungguh-sungguh ke arah matlamat itu. Keadaan ini dipanggil sebagai ramalan yang ditepati oleh diri sendiri.
Kesedaran dan keyakinan bahawa usaha pembelajaran walaupun susah dan perit adalah untuk seketika sahaja amat bermanfaat. Selepas tamat , pelajar akan mempunyai banyak masa untuk membuat apa yang digemari.perasaan begini akan mendorong pelajar berusaha dan mengurangkan perasaan kempunan tidak dapat bersuka-suka semasa dekat dengan peperiksaan.
Ramai juga pelajar yang mendapati amat sukar untuk mula belajar walaupun dia berada dalam masa yang diperuntukkan untuk belajar. Ada yang mengatakan , dia tiada mood dan sebagainya. Tetapi ini boleh diselesaikan apabila usaha sudah dimulakan. Kerja yang dianggap susah akan beransur senang. Fenomena ini samalah dengan inersia.Jika tiada mood untuk belajar, mulakan dengan duduk diatas meja belajar, kemaskan meja belajar, baca perkara ringan mengenai pelajaran dan lama kelamaan insyaAllah semangat atau mood itu akan datang untuk memudahkan kita belajar. Buatlah apa sahaja yang mempunyai kaitan dengan pelajaran. Bukankah lebih baik mendapat sedikit daripada tidak mendapat apa-apa langsung?
SIKAP
Kalau dorongan datang dari hati , sikap pula adalah pandangan serta perbuatan akibat daripada fikirsn . Sebelum perbincangan sikap positif dan negatif, ada baiknya kita membincangkan mengenai tindak balas terhadap kegagalan terlebih dahulu.Tindak balas terhadap kegagalan boleh dibahagikan kepada empat pilihan berikut:
1. Menyerah kalah
2. Hentikan percubaan untuk mencapai matlamat asal tetapi berusaha kepada matlamat berlainan yang besar kemungkinan lebih mudah dicapai.
3. Ulangkan percubaan dengan usaha persediaan dan pendekatan yang sama dengan harapan keadaan akan menjadi lebih baik pada peperiksaan akan datang.
4. Ulangkan percubaan dengan usaha dan pendekatan yang diubahsuaikan.
Pilihan pertama hanya wajar jika seseorang itu merasakan matlamat yang hendak dicapai itu tidak penting atau mustahil untuk dicapai. Dalam konteks pelajaran, pendekatan ini tidak wajar kerana keputusan cemerlang dan ilmu yang diperolehi amat penting dan ramai pelajar telah membuktikan bahawa matlamat itu tidak mustahil untuk dicapai.
Mengubah matlamat pula wajar jika peluang untuk berjaya itu tipis dan matlamat baru itu sama penting atau hampir sama penting dan dapat memberi kepuasan jiwa.Pilihan ini bermakna pelajar tersebut menukar kursus yang diambilnya untuk mencapai kejayaan .
Pada amnya usaha yang sama akan membawa natijah yang sama. Pelajar yang gagal tidak akan maju jika dia tetap dengan caranya yang membawa kepada kegagalan itu. Oleh itu,pilihan ketiga hanya wajar jika seseorang itu tersilap dalam peperiksaan,ditimpa masalah atau nasib malang sahaja.
Pilihan terakhir pula sesuai kepada kebanyakan kes kegagalan. Dalam pendekatan ini , satu post mortem dijalankan untuk mengetehui kelemahan , kesilapan dan kekurangan usaha dalam pendekatan yang telah dilakukan. Dalam kajian ini , usaha dan pendekatan diubahsuaikan untuk mengatasi segala kekurangan. Secara amnya , cara ini dapatlah dikatakan cara yang terbaik dalam pembelajaran. Malah seseorang itu menjadi lebih bijak jika ia dapat belajar daripada kegagalannya sendiri.
Sikap positif pelajar ialah sikap yang membuatkan seseorang itu meningkatkan usaha sementara sikap negatif menyebabkan kekurangan usaha dan ini merupakan batu penghalang. Sikap yang berbeza ini diringkaskan seperti berikut:
Sikap positif Sikap negatif
Yakin terhadap kebolehan dan usaha sendiri. Ragu-ragu terhadap kebolehan diri sendiri. Terlampau yakin dengan kejayaan sehingga kurang atau tidak berusaha.
Tidak malu bertanya Segan hendak bertanya
Pencapaian yang lemah dalam ujian dianggap mangkin untuk meningkatkan usaha dan keazaman. Pencapaian yang lemah dianggap sebagai kegagalan muktamad
Berdisiplin dan belajar mengikut perencanaan yang teratur Belajar secara rambang dan sambil lewa
Memberi keutamaan yang tinggi kepada pembelajaran apabila masa itu telah diperuntukkan Mudah mengalihkan usaha kepada perkara selain dari pembelajaran
Sedia menerima teguran dan nasihat yang membina Tidak peka kepada teguran dan nasihat membina
Sentiasa bersedia Tidak bersedia dan kelam kabut pada saat akhir
Menyelesaikan kerja sesegera yang boleh Suka bertangguh
Bertawakkal dan yakin kepada Allah Menyerah kepada nasib tanpa usaha.
TABIAT
Kebanyakan dari tabiat dan perangai manusia dibentuk oleh adat dan kehendak masyarakat sekeliling. Tabiat digerakkan dan dilakukan tanpa berfikir terlebih dahulu. Oleh itu manusia cenderung untuk berkelakuan mengikut tabiatnya dengan mudah sekali. Dari satu segi tabiat adalah perbuatan yang disenangi, menggembirakan dan menyeronokkan.
Pelajar yang berjaya mempunyai tabiat pembelajaran yang baik dan mengikut prinsip pembelajaran berkesan .Sekiranya pelajar itu mempunyai tabiat pembelajaran yang bercanggah dengan prinsip pembelajaran berkesan , apakah yang patut dilakukan?Cara yang mudah ialah mengalah kepada tabiat itu dan memberi alasan bahawa trabiat buruk itu penting dan tidak dapat diubah. Tetapi cara yang sebenar ialah menggantikannya dengan amalan yang menepati prinsip pembelajaran berkesan.
Soalan yang akan timbul ialah bolehkah tabiat dan perangai itu diubah. Jawabnya boleh, tetapi memerlukan usaha dan dorongan yang kuat. Untuk mengubah sesuatu , kita mesti tahu bagaimana ia terjadi. Daripada kajian dan penyelidikan , tabiat didapati terbentuk secara beransur-ansur. Tabiat sesuatu perbuatan itu boleh dibentuk dengan melakukan pebuatan tersebut berulang-ulang . Setiap ulangan akan mengukuhkan ketegalan tabiat tersebut. Oleh itu , pelajar mestilah menggantikan tabiat yang buruk dengan tabiat baru yang lebih baik secara beransur-ansur.
Wednesday, December 27, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment